Sunday, December 27, 2009

DJ Suhaimi


Rumah separuh berkembar di hujung Taman DesaRaya II sunyi sepi saat jarum jam menunjukkan pukul tiga pagi. Deruman enjin Myvi milik Suhaimi membelah suasana hening, dengan kelajuan 80 km/j kenderaan itu membelok, menuju ke bawah garaj, kemudian kedengaran bunyi geseran brek berkeriut disusuli dentuman kecil sebelum kenderaan itu berhenti.

“Aduuhh..” Suhaimi meraba-raba kepala bimbang ada kesan luka akibat hantukan kuat di stereng kenderaannya. Tanpa berfikir panjang dia turun memeriksa bahagian depan, dua buah pasu hadiah dari Mama pecah berderai. “Mampus aku kali ni.” Muka garang Mama terbias di benaknya seketika . Tanpa menghiraukan calar pada ‘bumper’ dia meluru ke pintu utama. Bergegar gril dirempuhnya.

Hampir setengah jam Suhaimi terperuk di dalam tandas, dia belum berani untuk keluar, bimbang perutnya memulas lagi. Sepuluh minit berlalu, agak pasti tiada tanda-tanda diarheanya berulang barulah dia melonglai ke ruang tamu. Telefon bimbit berdering. “Hello Ma, Waalaikumussalam…Ma, tak baik lagi ni. Teh o tak ada gula? Ok lah…” Hampir separuh tenaga hilang, badan pula terhidrasi, usahkan ke dapur untuk membancuh resipi tradisional Mama…untuk menyelak daun pintu pun dia tidak upaya.

Azan Subuh dari surau DesaRaya menyentap lena Suhaimi. Terpinga-pinga anak muda lewat 20-an itu tika menyedari daun pintu utama dan pagar tidak berkunci sedangkan dia terkulai tidak sedarkan diri. Pantas dia ke pintu pagar, dikunci rapat-rapat kemudian berlari-lari anak kembali ke dalam rumah, sambil-sambil mengingat semula kejadian malam tadi, matanya melingas di sekitar ruang tamu demi memastikan tiada benda yang hilang.

“Ya Allah…” Bilik air berbau masam yang tajam. Setengah jam pula berhabis di dalam bilik air mencuci sisa-sisa muntah yang tidak sempat ditahan malam tadi, selesai mandi barulah terasa kesegaran menyelinap menelusuri saraf. Kali ini dia memang berniat untuk mendapatkan tidur yang cukup sebelum kembali semula ke konti. Namun begitu, tidak sampai lima belas minit menutup mata, kedengaran muzik rancak dari rumah sebelah. Aerobik. DJ Suhaimi , berjiran dengan lima orang anak dara yang kononnya mengamalkan gaya hidup sihat.

Suhaimi bangun kepanasan, bengkak di hati semakin menjadi-jadi. Selama ini dia bertolak ansur kerana memikirkan mereka anak dara, cantik lagi, dan tidak banyak masalah kecuali yang satu ini; melalak tidak kira waktu. “Aku nak tidur wei!” Suhaimi menjerit. Dia menerpa keluar ke halaman rumah. Dalam masa tiga minggu dia berpindah ke taman ini, inilah hari pertama Suhaimi keluar seawal jam tujuh pagi, semata-mata untuk melepaskan panas di dalam hatinya. Di hadapannya, susukan tubuh lima gadis sedang bersenam dengan penuh semangat, sedang ‘berseronok’ di halaman rumah mereka, terkinja-kinja menghadap komputer riba berwarna putih yang siap disambung pembesar suara.

Niat Suhaimi untuk menunjuk perasaan tiba-tiba terbantut, dia seperti cacing kepanasan di pinggir pagar dawai yang memisahkan rumah semi-D. Berteriak keluar anak tekak pun mereka tak akan dengar, semuanya bersungguh-sungguh beriadah dengan muzik rancak ala kelab malam.

“Abang! Selamat pagi….” Salah seorang daripada mereka menyedari kehadirannya.
Teguran ramah salah seorang daripada mereka memaku langkah laju Suhaimi. Lelaki itu mengangguk. Perlahan-lahan badannya berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Dia menapak semula ke balkoni dengan kesumat yang tidak lupus. Tidak puas hati, ditendangnya pagar dawai bersalut plastik hijau, memberikan kesan gegar yang agak ketara.

Belum sempat selipar jepun tercabut dari tapak kakinya, mata Suhaimi menangkap sesuatu pada badan Myvi; bekas lelehan yang kering. Malam tadi ,ketika separuh gila memandu, dia melanggar ayam di mana-manakah? Dia tunduk mengintai bawah badan kereta, juga ke empat-empat tayar. Tidak ada kesan darah. Tetapi serpihan kulit telur yang berterabur di atas simen membingungkan kepala.

Seketika kemudian ruang udara menjadi sepi, alunan-alunan lagu rancak terhenti.
“Ah…ok. Sampai sini..” Kedengaran satu suara dari kalangan mereka. Tak lama kemudian berdentum bunyi hempasan pintu rumah sebelah.
Misteri telur ayam dibiarkan sahaja. Entah dari mana datangnya telur, dia tidak mampu berfikir, badannya amat terhidrat dan kepenatan tika ini. Dengan malas gagang telefon dicapai, dan satu suara dari konti kedengaran di hujung talian.
Hari ini DJ Suhaimi cuti.

*********************

“Betul kau nampak Ti?”

“Betul, dia tendang pagar rumah kita…”

Lima dara termenung seketika. Sedetik, dua detik.

“Agaknya dia nampak kau baling telur ayam malam tadi tak Sakinah?”

Sakinah mengerling. Walaupun hatinya berdebar-debar terkenangkan muka jiran yang kemerahan, tetapi air muka Sakinah yang bersahaja mampu melindungi rasa gelisahnya. Bimbang juga jika terbongkar perbuatan kurang sopan, jatuh saham ayu yang dijaga selama berada di Bandar Kuala Lumpur ini.

“Eh, kalau dia tahu pun tak salah. Keturunan kita ada penyakit jantung tau. Pukul tiga pagi pandu kereta macam nak bunuh diri, berdentum bunyi dia hantuk kereta ke dinding rumah. Jantung aku sungguh tak stabil malam tadi. Siapa yang tak terkejut. Kau pun terperanjat kan? Maunya aku arwah dalam tidur…siapa nak jawab.”

“Tapi kami tak ada sampai cari telur ayam bawah dapur.” Siti menyindir sinis.

Sakinah tersenyum sumbing. “Aku minta maaflah, rasa-rasanya bukan pasal malam tadi. Pasal kita ganggu dia dengan muzik erobik, mana tahu.” Bahunya terjungkit.

“Ah, sah bukan sebab tu. Tiap empat kali seminggu jadual kita ada erobik, dia tak mengamuk pun…alih-alih hari ini naik hantu. Pasti ada sebab lain, aku pasti. Memang dia perasan kau baling telur, Sakinah. Patut kau pergi minta maaf dengan dia.”

“Sudah lah, buang masa saja kita bergaduh pasal jiran sebelah. Nanti aku minta maaflah, tapi pagi ni seingat aku ada orang janji nak buat hamlet untuk sarapan.” Sakinah cuba menutup rasa bersalah. Dengan santai dia membuka suis radio, stesen X.fm diamati setiap masa senggang.

Selalunya jam sembilan DJ Suhaimi ke udara.

“Bila kau nak pergi minta maaf Sakinah? Nak aku temankan tak? Lagipun selama dia berjiran tak pernah dia tegur kita. Nampak macam sombong orangnya.”

“Nak tegur macamana Jihah, dia balik kita dah tidur…entah pukul berapa agaknya dia keluar kita pun tak tahu…cepat sangat berhipotesis si Najihah ni. Ha, hujung minggu pula masing-masing balik rumah mak.” Sakinah menyangkal. Bukan kerana menyebelahi jiran, tetapi sikap Sakinah yang optimis.

“Hari ni tak ada tanda-tanda dia nak keluar rumah. Sakinah, hari ini je peluang kau nak minta maaf. Susah hati tau kalau bermasam muka dengan jiran.”

“Kecoh la kamu ni, Siti cakap dia sepak pagar rumah kita saja. tapi masa Nabilah ucap selamat, dia senyum kan? Kan? Mana tahu dia sepak lipan ke, jengking ke…lipas ke…”

“Betul juga…” Siti mula menerima andaian Sakinah.

“Ha, mana hamlet aku Nabilah.”

“Yalah, mana hamlet kami…kononnya nak buat sarapan istimewa.”

Mereka memandang Nabilah serentak. “Yelah, yelah, macamlah kamu semua ada kelas hari ni.” Muncung Nabilah panjang sedepa apabila didesak.

-DJ Suhaimi pagi ini menyampaikan salam kepada pendengar X.fm, apakan daya kita hanya merancang…doakan DJ Suhaimi cepat kembali ke konti semuaa.. di sini DJ Seri ditemani penerbit rancangan …

- Jam sembilan, Sakinah hampa. Radio Sony dimatikan.

Belum pun matahari tegak menjunjung galah, rumah sewa mereka kosong. Masing-masing dengan agenda sendiri. Selalunya Sakinah yang ditinggalkan sendirian, tetapi hari ini dia juga tergerak untuk ke pasaraya berhampiran. Rasa bersalah yang bersarang di hati tidak berjaya dihilangkan dengan andaian-andaian mereka sewaktu awal pagi tadi.

Suhaimi terjaga oleh lantunan salam yang bertalu-talu di perkarangan rumah. Sudah empat biji pil penahan sakit ditelannya, tetapi tidak juga lena. Demam tinggi tidak juga kebah. Nasib baik muntahnya sudah berhenti. Dengan malas dia membuka pintu, seorang perempuan yang bertudung putih dan berbaju kurung putih bunga merah di hadapannya. “Cari siapa cik?”

Belum sempat Sakinah menjawab telefon digenggamannya berbunyi.

“Sakinah, apa kau buat depan rumah mamat tu.” Dari celah jendela Nabilah mengintai. Walaupun bercakap melalui telefon tetapi suara masih tetap diperlahankan. Dia baru saja balik dari kelas sesi pagi ketika melihat sakinah memberi salam di muka pintu jiran sebelah. Silap rumah agaknya si Sakinah ini?

“Er...sekejaplah..” Sakinah memutuskan panggilan Nabilah. Telefon sekali lagi berbunyi, lantas dia menekan punat off.

“Encik, saya jiran sebelah.”

Suhaimi melingas ke rumah sebelah. Hairan. “Ya, ada apa?”

Tak sangka lepas mandi pagi gadis kecil di depannya berseri-seri, pagi tadi cukup berserabai dengan baju tidur ‘Hello Kitty’ dengan seluar PJ, dan bertudung kerepot.

Sakinah menghulurkan satu plastik buah. “Saya nak minta maaf atas kejadian yang abang marah sangat pagi tadi.” Encik digantikan abang, supaya hati jiran cepat sejuk.

Suhaimi senyum manis setelah menangkap maksud Sakinah. Adegan tendang pagar tanda protes mendapat reaksi. Dia Berjaya! “Oh, tidak mengapa…duduklah dulu, saya ambilkan air.”

Suhaimi menunjukkan meja taman di sebelah pasu Mama yang hancur berkeping-keping.

“Tak payah susah-susah bang. Saya nak cakap tu je.”

“Eh, duduklah dulu…bukan ajak masuk rumah pun.” Suhaimi bersungguh-sungguh. Sakinah serba-salah, namun diterima juga pelawaan Suhaimi.

Dua tin 100 plus dibawa keluar. “Minuman orang bujang. Orang bujang kan?” Soalan yang dituju kepada Sakinah bernada lucu.

“Ha ah, tak jadi masalah…minuman rasmi orang bujang ni.”

Mereka ketawa. Minuman diteguk santai, cuaca juga tidak terik seperti biasa, terbias rasa senang di dada masing-masing.

“Nasib baik tak meletup kereta ni bang. Tak kemek sangat pun. Apa kena malam tadi sampai tak sempat nak slow down.”

“Kes kecemasan dik. Maaflah mengganggu, kamu semua terkejut ya?”

“Mau nya tak bang, kami ingat gempa bumi. Nak saya tolong cucikan kereta ni?”

“Eh, baiknya adik ni…tak payah susah-susah. Apa kena mengena dengan adik pula, kereta abang ni…” hujung nadanya disiniskan, dia terhidu sesuatu di sebalik keikhlasan gadis genit itu.

Terkedu Sakinah. Betul sangkaannya. Jiran mereka bukan marah kerana sebiji telur.

Soalan berbaur kebajikan dari Sakinah membuatkan Suhaimi mula dilanda curiga, “Tapi, abang naik hairan juga dari mana datangnya telur ayam tu.” Suhaimi memancing , bibirnya dimuncung ke arah serpihan telur, Matanya masih melekat di wajah Sakinah, kalau-kalau air mukanya berubah.

“Itu sebab saya tanya, nak kami tolong bawa ke car wash tak…lagipun saya rasa abang tak sihat, betul-betul tak sihat.” Sakinah cepat-cepat membuka perisai, melindungi kesalahan. Bau minyak Cap Kapak dan dahi bertempel koyup menyelamatkan Sakinah. Kecut perutnya melihat perubahan air muka Suhaimi. ‘Gali lubang sendiri kau ni Sakinah…’ dia menyumpah sendiri.

“Oh, tak payah… cukup sekadar memahami keadaan saya, saya hargai… bukan tak boleh bersenam tapi kecilkan sedikit volume. Kerja saya tak banyak beri ruang untuk rehat, jadi di rumahlah satu-satunya tempat rehat saya.”

Lantas Sakinah faham, itu sebenarnya jawapan atas reaksi jirannya pagi tadi. “Oo, abang kerja apa?”

“ Oi!” Nabilah di tepi pagar menguit-nguit. “Dj Suhaimi kau tunggu kat dalam. Kang mengamuk pula kalau aku tak ingatkan.”

Sakinah menyinsing lengan baju kurungnya. Tiga lima belas minit petang, skrin jam Casio dilengan gebunya memaparkan angka digital 15:15. “Haa!! Jumpa lagi bang…terima kasih air bang…” Dia membawa tin 100 plus bersama, menyarung sandal Bata dan terus berlari tanpa memberi salam.

“Dekat suku jam baru kau nak ingatkan!” kedengaran suara gadis itu dari rumah sebelah.

“Aku telefon tak dapat. Kau ingat senang aku nak jual suara tepi pagar tu…”

Suhaimi tergelak kecil. DJ Suhaimi cuti dik.

Tidak sampai lima belas minit, Suhaimi melihat adik baju putih bunga merah keluar…di bawah terik matahari dia mencangkung di hujung sudut rumah, menguis-nguis pokok hiasan. Suhaimi menonton sketsa bisu itu dari ruang tamu menerusi pintu kaca, terlindung di sebalik langsir berwarna krim, adik itu masih memegang tin 100 plus pemberiannya.

“Sudahlah ... Si Suhaimi tu, kalau kau gila sangat carilah dia di pejabat . Bukan susah mana pun, semua orang tau pejabat stesen radio kau tu. Kau nak berkhemah kat situ pun tak apa. Kau ni, kacak sangat ke DJ Suhaimi tu?”

“Kalau dah sayang semuanya lawa Nabilah.”

“Habis tu, pergi saja jumpa dia…apa yang kau takut.”

“Aku gadis pingitan, gadis pingitan tak cari timba tau.”

Nabilah ketawa keras. Suhaimi yang memerhati turut ketawa kecil .

“Hai, timba…harapnya kau dengar la luahan perigi ni. Mampus pun dia tak tahu kau tu wujud Sakinah. Tambah-tambah perigi pingitan yang terperuk dalam hutan macam kau ni. Perigi lain lagi seksi tau. Aku dengar DJ Suhaimi kau tu anak Dato’, stesen radio tu dia punya. Kita yang tak kenal bedak asas ni usahkan anak Dato’, abang teksi depan komuter tu pun tak pandang.”

Oh, Sakinah nama adik itu. Suhaimi berbisik sendiri.

“Sudah la Sakinah. Realistik la sikit, ada sejuta lagi yang berangan naik pelamin dengan Suhaimi tu. DJ macam dia tu, hak milik awam.”

“Aku tak suruh pun kau bimbang…”

“Aku tak bimbang, tapi tak seronok kalau kau bermasam durja. Aku tak sangka orang cool macam kau pun boleh ada penyakit angau ni.”

“Aku tak angau la. Masaklah awal sikit Nabilah…aku dah lapar ni. ” Sakinah merengek manja, cuba beralih topik.

“Jom la masuk.”

“Sekejap lagi. Sekejap lagi aku masuk.”

“Orang yang tak kenal kau Sakinah, tak akan dapat bayangkan muka redup kau macamana. Macam getah keping bawah rumah nenek Tijah.”

Nabilah menggeleng. “Aku tak tahan betul tengok muncung kau tu. Mau saja aku heret Suhaimi ke rumah.”

“Hilang manis la kalau jumpa awal-awal. Orang putih kata Love is a sweet torment …aku sedang merasa la ni, rindunya aku kat Suhaimi tu Nabilah.”

Terkelip-kelip ekor mata Sakinah memandang Nabilah. Semakin ditenung Nabilah, semakin menjadi-jadi kerdipan matanya. Gaya menggoda.

“Naik benci aku tengok.” Nabilah mengangkat punggung.

“Kau tak fikir ke kalau-kalau dia dah beranak bini, sanggup kau bermadu?”

“Sanggup!” Semakin cepat dia mengerdip-ngerdip kelopak matanya. Senyumnya lebar menawan.

“Hish..”

Suhaimi ketawa lagi. Terhibur dengan gadis bertudung putih itu. Terasa ringan kepalanya setelah bergelak ketawa ‘dengan’ gadis Sakinah. Tiba-tiba Nabilah kembali dengan tergopoh gapah.

“Sakinah aku nak tanya ni, hari tu Amir bagitau dia dah confess dengan kau, tapi kau tolak. Dia cakap kau dah ada yang punya. Siapa mamat tu Sakinah? Setau aku kau alahan sikit dengan lelaki ni.”

“Siapa lagi DJ Suhaimi aku la.”

“Oi, jangan main-main, siapa jejaka tu? Aku serius ni, kasihan Amir.”

“Betul…DJ Suhaimi. Aku tak bagitau Amir siapa jejaka tu, tapi betul...DJ Suhaimi.”

“Hahaha…Hahaha…” Nabilah melontarkan ketawa yang dibuat-buat.

“Kau akan jadi anak dara tua Sakinah. Tak lama lagi, rumah ni akan kosong, tinggal kau sorang… Eloklah berpasang dengan jiran sebelah. Sekarang kau tak rasa ke sindrom-sindrom anak dara tua bila aku keluar dengan Adam, dua orang sepupu kita yang kuat melalak tu pun dah bertunang. Kalau kau betul-betul ada yang punya aku tak kisah Sakinah, aku lagi suka. Tapi DJ Suhaimi kau tu…bayang saja.”

“Hahaha” tawa Sakinah juga dibuat-buat. “ terima kasih la Nabilah…walaupun akhirnya aku sebatang kara di sini, tak apa. DJ Suhaimi ada…dekaat di hati.” Sekali lagi dia mengerdip mata yang memilik alis yang hitam lebat.

Tidak semena-mena jari telunjuk Nabilah menunjal dahi Sakinah. Dengan doa angau saudaranya itu cepat-cepat hilang.

“Aduh…” Sakinah senyum.

Mereka terkedu ketika Suhaimi membuka pintu cermin.

“Maaf bang. Kami masuk dulu… Maaf ya mengganggu. Mari Nabilah…” Kali ini Sakinah yang terkocoh-kocoh bangun meluru ke dalam rumah. Baru teringat yang jiran barunya tidak suka bising.
********************

“Penantian dari Blackrose…, siapa yang merindui DJ Suhaimi dua tiga hari ni harapnya terubat dengan lagu pembuka tadi. Okay, panggilan pertama di talian kita hello, siapa di sana? Ya… Sakinah?”

Suhaimi terasa sesuatu yang asing hadir di hatinya. Degupan jantung sedikit tidak teratur. Sakinah mana? Sakinah itukah?

“Selamat malam Sakinah, Sakinah dari mana ya…”

“Saya dari K.L.”

“K.L luas tu sayang… K.L tang mana…”

“Er..K.L dekat-dekat rawang…” ada getar pada nada Sakinah.

“Oo…dekat rawang, kenapa slow sangat suara adik ni …adik ke mama orang ni?”

“Adik lagi la bang.”

“Releks la dik… aduii…nervous aje adik kita ni ...ok dik, apa cerita hari ni? Apa yang takut sangat nak bagi tau si dia sampai nak kena on air. ”

“Er…sebenarnya saya nak minta maaf dekat abang rumah sebelah.”

“Sapa jiran tu dik…Jangan-jangan bekas pakwe tak?”

“Tak de, tak de, saya pun tak berapa kenal…er, minggu lepas saya tak cukup tidur sebab nak siapkan assignment…kami satu rumah memang tak tidur whole week. Bila kami ada sikit masa nak lelapkan mata tiba-tiba ada benda meletup. Pagi-pagi buta, ayam pun tak bangun lagi bang. Jiran kami punya pasal, dia rempuh rumah dia dengan Myvi. Hello...hello…”

Suhaimi tersentak. Betullah Sakinah itu. Senyum Suhaimi meleret.

“Ya, ya.. sedang mendengar…teruskan…apalah mamat tu kan, buat kecoh pagi-pagi buta.” Bukan rumah la wei, pasu. Hati lelakinya memprotes.

“Saya naik geram, saya baling telur ayam… tak pasal-pasal kena kereta abang tu.”

“Dan…” Suhaimi menahan diri dari melempiaskan tawa. Pasti Sakinah inilah…

“Saya tak tau dia dengar ke tak siaran ni. Tempoh hari saya ada ke rumahnya asalnya nak minta maaf pasal telur ayam tu, tapi dia salah faham pula. Nasib baik juga kena kereta bang, kalau kena tuan…komfem saya pindah rumah…”

“Hahaha…macam banyak masalah saja kamu ni ya.”

“Ye ke…?”

“Oklah Sakinah, moga-moga jiran sebelah rumah terima mesej awak ni…”

“Saya tak harap dia dengar…”

“Habis tu, apa guna awak buat panggilan ni…oo nak sedapkan hati ye.”

“Best la abang ni, memahami. Lagipun saya anggap dia dah maafkan semua sekali satu pakej. By the way terima kasih bang…boleh minta lagu tak?”

“Bukan segmen pilih lagu ni dik tapi kalau lagu tu ada dalam list penerbit kira rezeki Sakinah untuk malam ni…”

“Khas buat abang DJ, tak kisahlah lagu apa-apapun yang sesuai… Selamat malam.”

Lagu pun diputar. Tawa Suhaimi meletus tiba-tiba. Wajah ‘sejuk’ Sakinah di hadapan pintu rumah semakin seronok diimbas berkali-kali.

“Aduhai… maaf satu pakej. Apalah si Sakinah ni.” Khayalan itu berakhir setelah dikejutkan oleh tumbukan kecil Fadil.

“Awek kau pesan, pukul lima di A-zone seperti biasa.”

“Thanks buddy.”

*************************

Sakinah…Suhaila…dua nama muncul di kepalanya. Setelah lima tahun, baru hari ini hati Suhaimi terniat untuk menilai perhubungannya bersama Suhaila. Perhubungan intim antara mereka berlangsung tanpa perlu meredah cabaran berliku. Mereka sedarjat, mempunyai pemikiran sehala dan saling memahami. Paling penting dalam sebuah perhubungan adalah restu ibu bapa, dan mereka direstui. Suhaila cantik, terkenal dalam dunia peragaan dan bijak berkomunikasi. Apa salah Suhaila sehingga dia tergamak memikirkan gadis lain? Memikirkan Sakinah!

Keluar sahaja dari A-zone, dia tidak terus pulang ke rumah. Kereta diparkir di pinggir lebuh raya demi melayan hati yang tidak keruan. Selama 3 jam menghabiskan masa di A-zone, dia memerhati Suhaila dalam dan penuh makna. Meneliti gaya Suhaila menyapa teman, baik lelaki mahu perempuan. Air mukanya dan sinar matanya yang galak. Jemarinya melilit gelas yang berisi alkohol ringan. Liuk lintuk tubuhnya yang menghangatkan. Dalam masa yang sama, Sakinah juga turut dinilai, jiran yang baru pertama kali berjumpa sudah berbual mesra,meskipun tidak lama tetapi menenangkan. Sakinah yang bertudung, tetapi tudung itu tidak menghalang mereka berbual bicara.

Disebalik tudung itu bagaimana alur rambutnya? Lurus seperti Suhailakah? Mata Sakinah tidak galak tetapi tajam menikam…bila berbicara anak mata hitamnya terus ke anak mata Suhaimi, meski tidak lama tetap memberi kesan. Tubuh Sakinah bagaimana? Adakah gemalai seperti Suhaila? Dia tidak berjaya menembusi bayangan imiginasi kerana tubuh itu dilitup baju kurung yang sopan. Air muka Sakinah tidak bergolak kerana itu, bila mata memandang, Suhaimi dapat merasai ketenangan mengalir masuk ke jiwanya.

Sakinah. Tanpa disedari gadis itu bertanggungjawab penuh terhadap kecelaruan fikiran lelaki bernama Suhaimi. Baru sekali bersua bicara tetapi wajah gadis berperwatakan sederhana itu tidak mampu diusir pergi dari ruang hati. Berkali-kali dia cuba melupakan tetapi tidak berjaya.

************************

“Assalamualaikum bang.” Riang Sakinah menegur jiran barunya. Sapaan tidak dibalas. Bukan sahaja tidak berbalas, senyum pun tidak. Langkah Sakinah terhenti, kaget dengan respon yang tidak disangka.

“Selamat pagi bang!” Diulang dengan lebih nyaring, dia yakin suaranya cukup jelas untuk didengar jiran. Malangnya tiada tindak balas. Pintu kereta dihempas kuat. Sakinah terhenyak kehairanan. Kemudian Myvi menderum laju dan menghilang.

“Aik, datang bulan agaknya abang ni…Sombongnya.” Terkulat-kulat sendirian.

Sakinah meneruskan perjalanan yang terbantut, sambil kepalanya ligat memikirkan kemungkinan musibah yang menimpa jiran. Adakah kerana abang itu terdengar suaranya di radio? Hmm, boleh jadi. Hati Sakinah tidak keruan. Langkahnya perlahan. ‘menyesal pula rasanya on air…kalau tahu beginilah jadinya. Abang jiran ni pun satu, takkan nak merajuk sampai macam tu sekali…’ gumamnya sendiri.

Batu-batu kecil yang menghadang laluannya disepak-sepak. Pukul sembilan pagi, namun terik matahari memeritkan kulitnya. Baju kurung hitam manggis menambahkan lagi serapan haba. Buku fisiologi manusia dibelek malas, sengaja dibiarkan masa berlalu, bas mini terlepas gara-gara lamunannya, gara-gara memikirkan perubahan sikap abang sebelah rumah. ‘Apa aku nak buat ni?’

Tiba-tiba sebuah kereta berhenti mengejut dihadapannya. Seorang wanita anggun tersenyum sinis lantas menggamitnya. Sakinah mendekat.

“masuklah…” suara dingin pemandu di sebelah menyedarkan Sakinah. Ah, abang itu. Myvi ini milik jirannya.

“Eh, tak apa. Terima kasih. Saya tunggu bas saja. Terima kasih, buat susah-susah je.”

“It’s ok.” Gadis itu membukakan pintu belakang untuknya. Sakinah yang teragak-agak terpaksa akur. Ikutkan hati, dia lebih rela menunggu bas Uncle Muthu daripada menumpang kereta pasangan bahagia itu. “Is this the girl you told me, Mi?”

“Yelah…siapa lagi.” Suhaimi serius. “Lucky just eggs. Kalau dia baling bom macamana?”

Suhaila ketawa sinis.

‘Ah…’ Sakinah mengangguk sendiri, namun dia membatu. Betul telahannya, abang Mi mendengar luahan rasanya di radio.

Suhaimi senyap. “Ke mana ni Sakinah?”

“Kolej … Masterskill..Terima kasih.”

Sakinah membatu, dibiarkan mereka berbicara mesra, bergelak manja. Mereka berbual seolah-olah Sakinah di belakang tidak wujud… terasa kerdil sahaja insan bernama Sakinah selaku penumpang.

Selepas meninggalkan Sakinah di pintu masuk, Suhaimi memecut laju tetapi sempat mengerling ke arah cermin sisi. Hatinya membara tidak keruan tiap kali memandang wajah Sakinah. Gelak tawa Suhaila seakan tawar. Suhaimi marah, marahnya tidak beralasan. Marahnya entah kepada siapa. Tangan Suhaila digenggam untuk satu kekuatan, tetapi dia gagal bertenang…sedangkan Suhaila senyum kepadanya, manja. “Sue, forgive me.” Desis hati kecil Suhaimi.

Sengaja dia berpatah balik selepas menjemput Suhaila di sebuah hotel berhampiran, perasaan bersalah menghantui diri kerana mengabaikan sapaan Sakinah yang ikhlas serta beriya-iya. Apa kena dengan dia sekarang ini? Segala aktiviti bersama rakan sekerja Suhaimi batalkan, jemputan mama untuk makan malam juga ditolak sopan. Kehidupannya teraruh kerana Sakinah.

“Have you ever thought about us Sue?” Sambil menunggu pesanan Suhaimi membuka bicara. Bar masih lengang pada waktu-waktu begini. Bicara hari ini perlu jelas, jelas supaya hatinya tenteram dan pendirian cintanya kepada Suhala berdiri kukuh semula.

“Please specify.”

“Our future.”
“Yes, once in a blue moon.” Suhaila meneguk perlahan wain putih di hadapannya.

Suhaimi mengangkat kening, minta dijelaskan. Kerlingan Suhaila manja, senyumnya seksi dan dia membiarkan Suhaimi berteka-teki. “Well, thought of being proposed by you, engaged and married, having pair of angels around us…”

“Sound’s great.” Suhaimi membalas mesra, kerana itulah juga impiannya.

“Yeah…” Suhaila lantas mengeluarkan sekotak Dunhill, ditariknya sebatang rokok dan kemudian asap berkepul ke udara. “I’m sorry Mi, is it okay with you?” Dia merujuk kepada rokok dibibirnya, yang dinyalakan pelayan bar baru sekejap tadi.

Suhaimi diam.

“How is your theraphy? Still?” Suhaila bertanya terus.

“On and off. But it’s okay… a lot of improvement lately.”

“I’m sorry for not able to be with you last year, you suffer a lot.”

“I understand.” Suhaimi tunduk merenung gelas oren di hadapannya, melindungi perasaan kecewa. “So, you don’t have any proper plan for us huh, do you?”

“I punya kontrak dengan Unza masih berbaki tiga tahun.”

“It just came to my mind that I want to end it today… but seems I have to wait for another three years.”

“Three years tak lama…kenapa tiba-tiba terfikir ke situ sayang.”

“Because I’m afraid that...”

“Come on, selama ni you percayakan I kan…”

Aku bukan takut kau lari, aku takut dengan apa yang aku rasa sekarang ni Suhaila.

Jarinya bermain-main gelas kosong. Selepas ayat itu mereka membungkam. Muzik yang berdendang sayu menambahkan kebungkaman masing-masing.

Hening malam tidak mampu menenangkan hati Suhaimi, keretanya dipandu sekitar 40 km/j menyusuri jalan sempit taman perumahan pinggir bukit itu. Tiba-tiba matanya mengesan sesuatu pada cermin pandang belakang. Sesusuk lembaga berpakaian putih meluru laju melintasi keretanya dari simpang surau…lariannya deras, kemudian terdengar salakan anjing yang semakin lama semakin jelas kedengaran. Lembaga itu berpatah balik semula ke arah keretanya. Cahaya lampu hadapan mengaburkan bayangan lembaga itu, Suhaimi terpaksa memadamkan lampu hadapan.

Pang! Pang! Pang! Bahagian hadapan keretanya di ketuk. Tidak dijemput lembaga itu membuka pintu kereta dan dihempasnya kuat. Suhaimi kepucatan, tergamam…tubuhnya terhenyak ke daun pintu.
“Bang! Cepat bang, pecut bang!” Lembaga itu menekan-nekan hon. Anjing liar mengelilingi keretanya, menerpa tingkap yang tertutup rapat. Dalam keadaan terdesak, Suhaimi menolak lembaga di hadapannya dengan kasar.

“Aduh!” suara di sebalik kain putih.

Suara itu, suara itu dikenalinya. “Sakinah?”

Lembaga itu mengangguk laju, nafasnya pendek tersekat-sekat. Cuba mengawal pernafasan. Jari telunjuknya menghala ke arah sekumpulan anjing yang mengelilingi mereka. Suhaimi mula mengerti. Suis lampu di bumbung kereta dipetik, jelas kelihatan Sakinah yang masih tercungap-cungap berhutang oksigen, gadis itu hanya berseluar tidur paras lutut, lusuh. Selipar jepun hanya tinggal sebelah, sebelah lagi pastinya tercicir ketika acara ‘maraton’ sekejap tadi. Tangan sakinah terkial-kial membetulkan telekung sembahyang, berusaha mencari ruang untuk bernafas. Suhaimi mencapai hujung telekung bahagian muka dan dihulurkan kepada tangan kecil Sakinah. Lantas tangan itu menarik hujungnya, wajah merah Sakinah terserlah, juraian peluh tidak diendah. Jemari halusnya menggeletar.

“Terima kasih encik. Eh, abang Mi. Huu, abang Mi.” Senyumnya melebar, dan gadis itu ketawa kecil kelegaan kerana pemandu itu cukup dikenali, air matanya juga turut menitik lebat.

“Celaka kau binatang!” dia merujuk kepada 3 ekor anjing yang masih berkeliaran. Ditumbuknya ‘dash board’ sehingga bergegar patung twity berspring hadiah dari Suhaila.

Debaran dada Suhaimi surut berlahan-lahan, kalau betullah dihadapannya itu hantu seperti sangkaan awalnya tadi, mungkin inilah kali terakhir dia melalui jalan 1/8.

“Kenapa sorang…sepatutnya ada teman malam-malam ni.” Suhaimi menarik nafas lega.

“Memang jahanamlah, satu rumah tu kenakan saya.” Ekor mata Suhaimi yang sekali sekala mengerling ke bawah diikuti batuk-batuk halus menyedarkan Sakinah tentang sesuatu, dia mengucap panjang “Astaghfirullah”; kain sembahyangnya ‘hilang’, terlucut di tengah jalan.
Perlahan-lahan sepasang kaki diangkat rapat ke dada, ditutupnya dengan telekung.

“Kalau ikutkan, abang dah kena kawin dengan saya…kaki saya ni mahal…tak pernah orang tengok.” Sakinah tunduk. Seperti biasa dia seorang yang bersiap sedia dengan alasan, semata-mata untuk melindungi kelemahan diri.

Suhaimi ingin ketawa, namun ditahan sepenuh hati. Dia berpaling ke luar tingkap melepaskan senyuman lebar. “Terpaksalah kita tunggu anjing ni beredar… sebelum tu apa yang awak buat di surau sampai tengah-tengah malam ni. Pukul dua belas tengah malam ni ha…”

“Lepas dengar kuliah, kami study kat surau tu…hari ni saya penat, entah bila saya tertidur…sedar-sedar dah tak ada orang.” Teringat kata-kata Siti, siapa yang tidur tidak sekali-kali mereka kejutkan, sebagai denda kerana langgar jadual belajar.

“Takkan mereka tak kejutkan kot…”

“diorang kenakan saya la tu…”

Suhaimi tidak mampu bertahan, dilantun suaranya sekuat hati, dia ketawa sehingga puas. Terasa ringan perasaannya, terasa hilang kehampaannya.

******************

Peristiwa dikejar anjing dirahsiakan sepenuhnya dari ahli rumah sewa. Walaupun mereka hairan dengan perubahan Sakinah tetapi tidak dibesar-besarkan. Sakinah semakin jarang keluar rumah, Sakinah seperti takut dengan kegelapan. Dia semakin akrab dengan radio dan siri animasi Jepun, selesai kuliah atau tutorial gadis itu terus menapak pulang.

“Sakinah, jomlah…hari tu kau juga yang beriya-iya nak ke Ulu Yam, kami dah siap beli khemah ni. Group Anizan pun join sama.”

“Tak naklah aku…aku nak balik rumah hujung minggu ni…”

“Takkan kau merajuk lagi.”

“Tak…” Sakinah senyum, aku serik kena kejar anjing la…bangang. “Kau nak keluar beli minyak gas kan, belikan aku megi dua pek. 10 bungkus. Jangan lupa kunci pagar sebelum blah.”

Sakinah bangun menerpa beg duit. Mereka berpandangan sesama sendiri. Malam itu mereka memang memasang niat untuk kembali semula ke surau, menjemput Sakinah pulang, tetapi niat mereka terbantut bila terdengar suara sakinah. Sakinah tiba dengan selamat, tidak ada beza ketika ditinggalkan. Cuma selipar jepunnya putus, terputus semasa berlari pulang katanya.

Suhaimi menjenguk keluar, hilai tawa jiran sebelah menarik perhatiannya. Mereka berlima seperti tidak menanggung beban masalah, seperti anak kecil yang hanya tahu merengek jika lapar dan ketawa jika terhibur, tidak terpamer riak bimbang dan sedih berpanjangan. Mereka tahu menghargai, ya, mereka tahu menghargai kehidupan. “Sakinah! Sampai rumah nanti telefon kami.” Jerit satu suara antara mereka.

Rumah separa kembar itu sepi. Deruan motor Seva mengalih tumpuan Suhaimi, Harian Metro yang dilanggan setiap hari tidak pernah lewat dari jam lapan. Sebelum tangan mencapai naskhah akhbar, deringan Motorola memaku gerakan. Suhaila. Suhaimi senyum.

“Hai Su. Morning.”

“Mi, I’m sorry…I’m sorry…” Suhaila meraung seakan histeria, butir katanya tidak jelas. Suhaimi panik, tidak pernah Suhaila bersikap begini. Suhaila yang dikenali cukup matang dan tabah. Ucapan maaf diulang-ulang sehingga wanita itu sendiri yang mematikan talian.

Tiba-tiba matanya tersilau sesuatu di muka depan akhbar; MODEL TERKENAL DITANGKAP DALAM KEADAAN MEMALUKAN, di bawahnya sekeping gambar jelas menunjukkan susuk tubuh yang amat dikenali.

Kepala Suhaimi memberat, pandangannya berbalam, dia mencari-cari sokongan. Baru semalam Suhaila menemaninya menjalani kimoterapi , suaranya menghangatkan. Baru semalam...

“Abang Mi! Abang Mi!...” Ada satu suara, tetapi bukan milik Suhaila. Kedengaran pagar rumah dirempuh kasar dan namanya dipanggil bertalu-talu.

Dengan dua tahun pengajian diploma kejururawatan serta dua tahun ijazah kejururawatan dan sehingga sekarang masih dalam proses menuntut, Sakinah sudah hadam asas-asasnya. Sambil menunggu ambulans, dia memapah Suhaimi ke ruang tamu lalu bertanya sedikit maklumat berkenaan sejarah rawatan, bertanya dengan sabar. Suhaimi dihantar ke pusat rawatan Gleanegles, Ampang kerana rekod Suhaimi di sana. Hati Sakinah luluh menyedari ada air mata yang bertakung di pelipis mata Suhaimi.

Niat untuk pulang ke kampung dibatalkan memandangkan tiada siapa menjaga Suhaimi. Katanya Datin ke United Kingdom. “Mamat ni, takkan tak ada saudara mara…” Sakinah mengertap bibir. Ayat suci dialunkan lembut. Selesai solat dia meneruskan bacaan dan kadang-kadang mengelap dahi Suhaimi dengan tuala basah.

“Sakinah… esok saya mahu balik.” Oleh kerana Suhaimi demam tinggi, suaranya hampir tidak kedengaran. “Balik rumah sewa.”

Dalam seminggu mereka bergilir menjaga Suhaimi, Sakinah orang yang paling sibuk memandangkan dia mempunyai lebih masa. “Abang Mi…Saya masakkan bubur nasi nak?”

Suhaimi diam, Sakinah mencuit Najihah lantas mereka ke dapur… “Bila mama dia nak balik Sakinah? Tak ada kawan ke dia tu?” Najihah berbisik.

“Ish…” Tangan Sakinah mencapai radio.

“Jangan nak cari DJ engkau lagi. Dia dah resign.”

“Mana kau tahu.”

“Dalam internet. Kamu ni macam anak bunian sesat…Paper tak baca, internet tak surf. Reti hadap buku teks saja.” Suhaimi bagi Najihah tidak popular seperti Farah Fauzana, atau Faizal Ismail. Langsung tidak popular. Gambar tidak dipaparkan media, jika ada pun kecil macam kuman. Stesen radio X.Fm? Tidak popular pun di Malaysia, berapa kerat sangat yang sedar wujudnya stesen ini tetapi yang hairan…sepupunya si Sakinah punya gila sampai rela beli radio sendiri.

“Satu lagi, model iklan syampu tu, awek dia…dah kena tangkap basah bawah pokok belakang CM. Dalam paper tak ada, tapi dalam internet dah satu dunia tau maa…aku tau pasal Suhaimi resign sebab baca isu model tu la. Itulah kau, surf internet bukan nak baca berita, layan anime je yang kau reti.”

Sakinah diam. Dalam kesibukan menjaga jiran, dia langsung terlupa akan DJ Suhaimi…Prihatin kepada jiran hampir melupakan setiap rutin yang sepatutnya dilakukan. Sehingga dalam dewan kuliah, fikirannya tetap berada di rumah jiran. DJ Suhaimi telah pergi, tetapi hairan hatinya tidak berasa kosong.

Suhaimi mendengar suara-suara kalut dari ruang tamu. Pahit terpaksa ditelan. Pedih terpaksa dirawat. Air mata lelaki cuba ditahan dari mengalir keluar. Senaif itukah Sakinah? Senaif itukah Sakinah menghadapi dunia berarus songsang ini…namun Sakinah tidak lemas dan tidak tenggelam. Tidak seperti Suhaila, tampak matang dan cekal tetapi gagal menongkah arus, Suhaimi juga nyaris lemas bersama cinta pertamanya…Namun alunan suara Sakinah mengalun ayat-ayat suci ketika di Gleanegles merentap jiwanya, menariknya ke daratan.

“Abang Mi! Nak makan apa ni? Bubur nasi? Ikan kering rebus? kerabu pucuk getah? apa benda nak masak ni?” Suara Sakinah bernada berang.

“Masaklah apa pun!” Suhaimi membalas keras. Rumah bujangnya dibuat seperti rumah mereka sendiri, keluar masuk lima saudara membingitkan suasana. Kadang-kadang salam tak sempat berbalas, mereka sudah terpacak di ruang tamu. Kadang-kadang mereka lupa bahawa di rumah itu ada seorang pesakit yang memerlukan perhatian.

“Kang masak nanti kalau tak makan siap la..”

“Frust dengan DJ, kita pula yang di marahnya.” Sayup Suhaimi menjampuk. Sakinah senyum manis. Kanser tidak menjanjikan kehidupan tetapi kematian juga tidak berjanji bila mahu bertandang… selagi hidup itulah harapan. Fikirannya memutarkan semula suara lunak dan bersahaja DJ Suhaimi, jasanya akan dikenang kerana pernah mengisi kesepian hati seorang insan…walau di mana DJ berada, Sakinah mendoakan keamanan dan kesejahteraan. Amin.

p/s: PEDULI APA CERPEN AKU TAK BEST, blog ni ahmad albab yang punya tau

No comments:

Post a Comment