“Suami boleh masak?”
“Anak berapa orang?”
“Bila nak tambah yang seterusnya?”
“Ada pembantu rumah?”
“Kalau nak ambil pembantu rumah, ada masalah?”
Itu adalah di antara soalan yang dituju oleh panel penemuduga kepada isteri saya semasa temuduga di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Hampir tidak ada soalan serius berkaitan klinikal. Kebanyakannya lebih menyentuh aspek sosial serta visi dan misi yang ada di fikiran calon program Clinical Masters di bidang Emergency Medicine yang seorang ini.
Ia kenangan lebih empat tahun lalu.
MAHU PILIH BIDANG APA?
“Family Medicine atau Emergency Medicine?” kami saling bertimbang tara.
Pengalaman bekerja selama kira-kira tiga tahun, belum cukup untuk menjelaskan fikiran, bidang apakah yang bakal isteri saya membuat pengkhususan. Biar pun saya tidak mempunyai sebarang kena mengena dengan bidang perubatan, perkongsian hidup kami sebagai suami isteri dengan kerja-kerja di hospital saban hari isteri saya ceritakan sebagai rutin harian kami, saya secara tidak langsung memainkan peranan sebagai pembantu peribadinya.
Semasa di Republic of Ireland, kontrak kerja untuk setiap posting para SHO (senior house officer) hanya enam bulan.
Ini bermakna setiap enam bulan para doktor ini perlu memohon kerja!
Terdesak untuk mendapat kerja, hampir apa sahaja tawaran yang diiklankan, pasti akan dipohon.
“Sanggupkah kita berpindah ke Cork?” isteri saya bertanya.
“Tak mengapa. Di mana-mana sahaja. Asalkan kita bersama” saya membalas.
Setiap Khamis, saya akan membeli surat khabar Irish Independent kerana memantau iklan tawaran kerja. Haematology, Medical, Cardiology, Endocrinology, apa sahaja yang diiklankan, saya akan menggunting keratan akhbar, menandakannya selepas menyelesaikan tugasan memasak, mengemas rumah, memandikan anak dan melunaskan assignment pengajian Open University UK.
Bersama-sama isteri yang keletihan pulang bekerja, kami akan mengemaskinikan resume beliau dan menggunakan ‘kuasa bahasa’ saya ‘menggoreng’ surat permohonan kerja.
Mengapa mahu bekerja di Jabatan Haematology Hospital Universiti di Galway?
Mengapa mahu bekerja di Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Tallaght di Dublin?
Mengapa mahu bekerja di Jabatan Perubatan Hospital Naas di County Kildare?
Kami menempuh kehidupan berpindah randah dari satu bandar ke satu bandar apabila menerima tawaran kerja yang dipohon. Biar pun penuh jerih dan payah, kehidupan semasa itu sungguh sederhana, bahagia lagi mendamaikan.
“Hah, kenapa menangis?” pernah sekali saya menyergah isteri.
“Sakit hati dengan doktor dari Pakistan itu. Sentiasa membuli!” cerita isteri saya.
“Lawan, jangan biarkan. Habiskan semuanya di hospital. Jangan dendam dibawa balik ke rumah” saya menghasut.
Dari semasa ke semasa, saya memberikan telinga untuk mendengar segala keletihan dan tekanan kerja, salah diagnosis hingga seperti hampir putus nyawa kerana khuatir, juga dibuli doktor-doktor lelaki yang chauvanist.
Mempertimbangkan semua pengalaman itu, saya yakin isteri saya paling gembira semasa beliau bertugas di Wad Kecemasan. Di Hospital Tallaght, di selatan Dublin, ibu kota Republic of Ireland.
Memang meletihkan.
Begitu juga persepsi rendah doktor di jabatan lain yang menganggap Wad Kecemasan sebagai tempat buangan.
Tetapi di situlah isteri saya belajar bertindak spontan terhadap kes-kes yang tidak boleh dijangka, mempelajari pelbagai kemahiran membabitkan O&G, psikiatri, paedatrik, medikal, surgikal, radiologi malah undang-undang (medico-legal).
Segalanya berbaloi.
“Programnya panjang dan berat. Peringkat yang menentukan siapa kita untuk seluruh usia kerjaya akan datang. Janganlah pilih mengikut keperluan semata-mata tetapi pilih yang paling diminati. Yang ada passion! Jangan khuatirkan abang dan anak-anak. Kami menyokong sepenuhnya, Insya Allah” itu ulasan penutup saya sebelum beliau membuat keputusan akhir.
Isteri saya memilih untuk menjadi pakar di dalam Perubatan Kecemasan.
Bidang ini memberi peluang yang paling luas untuk seorang doktor mempelajari hampir kesemua aspek pengkhususan yang wujud di dalam perkhidmatan kesihatan. Bidang yang masih agak baru di Malaysia namun mempunyai prospek yang tinggi di masa hadapan, adalah bidang yang paling menepati jiwanya, seorang wanita Muslimah yang sukakan cabaran, namun cepat bosan dengan rutin kes yang terlalu spesifik dalam skop yang terbatas.
Perubatan Kecemasan merangkumi sejumlah besar bidang General Medicine dan surgikal dan sub-surgikal. Seorang doktor di bidang perubatan kecemasan bertanggungjawab memeriksa dan merawat pesakit dalam jumlah yang besar, memerlukan pengetahuan yang luas dan kemahiran prosedural yang pelbagai termasuk prosedur bedah, resusitasi trauma, advanced cardiac life support dan advanced airway management. Seorang doktor di dalam bidang Perubatan Kecemasan juga harus mempunyai banyak kemahiran pakar untuk resusitasi pesakit (Critical Care Medicine), anesthesia, plastic surgery, orthopedic surgery, cardiology, obstetrics and gynecology, ENT, cardiothoracic surgery dan radiology.
Clinical Masters in Emergency Medicine adalah pilihannya.
Bismillah, dengan nama Allah langkah pertama dimulakan.
EMPAT TAHUN YANG PENUH MEHNAH
Semenjak di tahun pertama program pengajian, kehidupan kami menempuh pelbagai ujian.
Kursusnya pelbagai, selain tutorial mingguan dan laporan kes, isteri saya juga pergi ke sana sini mendapatkan pelbagai kemahiran yang hakikatnya terlalu lasak untuk seorang perempuan. Belajar berenang untuk proses menyelamat di dalam air, menyertai latihan bersama akademi polis untuk mengenal tabiat peluru, bomba, tentera, pasukan paramedik, malah pasukan Formula 1, Karate dan 1001 lagi… sungguh mencabar!
Namun, gelanggang ujian yang besar buat kami adalah kelangsungan mahligai rumahtangga dan keluarga.
Saya yang ketika itu bergaji amat kecil, bekerja keras untuk menampung kehidupan. Isteri juga berusaha untuk bekerja sambil belajar, kehidupan kami yang serba sederhana menempuh pelbagai ujian.
Tidak sedikit salah faham yang terjadi.
Tidak kurang pertengkaran yang berlaku.
Semuanya banyak berpunca daripada tekanan hidup hingga perkara kecil menjadi besar.
Dalam suasana hidup yang masih kurang pilihan, saya menerima apa sahaja peluang tugasan dan kesannya membawa kepada banyaknya out station hingga ke luar negara. Keadaan itu meninggalkan isteri saya menanggung keletihan yang banyak, dengan tambahan kelahiran cahaya mata kami yang ketiga, Muhammad Imaduddin, ketika isteri saya bertarung dengan peperiksaan Tahun 1 yang amat mencabar. Tiada cuti bersalin. Hanya cuti tahunan sebanyak dua minggu dengan tambahan beberapa hari ihsan rakan-rakan di Jabatan Kecemasan, beliau kembali bertugas semasa masih di dalam ‘tempoh berpantang’.
Selepas siri kerja saya di Republic of Ireland (2 kali), Australia, Jepun, Indonesia, Dubai dan Doha, saya nekad menjadikan tahun 2009 sebagai tahun domestik. Saya menyimpan pasport dan selama setahun, saya menolak semua jemputan ke luar negara kerana mahu memberikan sokongan yang diperlukan oleh isteri.
Tanpa ke luar negara, sekurang-kurangnya sebarang permasalahan kami tempuh bersama.
Salah faham dan perbalahan tetap berlaku. Namun, kuasa besar yang menjadi pelampung keselamatan hidup kami adalah kekuatan komunikasi.
Komunikasi dengan Allah berupa doa.
Komunikasi antara kami melalui perbincangan.
Setiap konflik yang timbul, kami memaksa diri untuk duduk berbincang.
Air mata, amarah, ketawa, suka dan duka, bersulam mengkuang menjadi tikar kami menempuh hidup yang serba mencabar. Dalam warna warni hidup itulah, terbitnya pelbagai artikel di blog www.saifulislam.com dan membawa kepada berhasilnya buku Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga serta Murabbi Cinta yang merakam suka duka kehidupan kami.
Tiada apa yang hendak dibanggakan.
Semuanya lebih berupa sebuah kesyukuran dan kelegaan.
Bermula dengan sebuah kehidupan yang serba sederhana, berempat, berlima dan di Tahun 3 pengajian, kami menyambut ahli keenam di dalam keluarga dengan kelahiran Ahmad Muizzuddin. Proses mengandung dengan kehamilan songsang (breech pregnancy) serta komplikasi Placenta Previa peringkat 2, keputusan berat terpaksa dibuat untuk menangguhkan satu semester pengajian setelah sebulan isteri saya terlantar di wad.
Alhamdulillah Ahmad Muizzuddin lahir, biar pun dengan cabaran yang besar, 6 bulan penangguhan yang tidak dirancang itu memberikan banyak kelegaan buat kami sekeluarga.
PUNCAK PERJALANAN
Hari ini, detiknya telah tiba.
Setelah 4 tahun setengah perjalanan, hari ini isteri saya menduduki peperiksaan akhirnya.
Saya doakan agar kesemua modul peperiksaan ditempuh olehnya dengan tenang, baik malah cemerlang.
Sebagai suami, pembantu peribadi, dan peminatmu, sekalung doa kupanjatkan ke hadrat Allah agar minggu ini dirimu, juga teman-teman yang bersama menempuh peperiksaan itu, dilimpahkan oleh Allah dengan rahmah, barakah, taufiq dan ‘inayah, agar di hujung minggu ini, kita sama-sama mengakhiri perjalanan ini dengan sebuah PERMULAAN.
Sebagai doktor pakar di bidang Perubatan Kecemasan.
An Emergency Physician.
Selamat maju jaya, sayang!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment