Saturday, April 13, 2024

Akulah yang manja

 Semalam aku bertemu mereka, para pengasuhku masa kecil dahulu.

Sudah berdekad tidak berjumpa mata sesama, jadi sepanjang dekad itu bayangan mereka hanyalah ketika remaja dan muda. Sekali, aku terkedu memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Air mata ingin tumpah namun terpaksa aku tahan. Begitu rupanya masa memamah tubuh kami semua, Sudah uzur abang-abang pengasuhku yang baik. 

Semasa kecil, aku punyai ramai pengasuh. Selain dari ibu-ibu saudara aku dimanjai kakak-kakak dan abang-abang jiran sekampung. Akulah yang manja kerana dimanjai mereka. 

Kalau dengan kakak-kakak pengasuh, aku diheret ke mana saja hingga ke taman tema dan tempat kerja. Sering juga tidur di rumah jiran-jiran, jika mereka ke dapur, aku ke dapur, mereka ke tanah aku ke tanah. Musim raya aku jadi tukang sibuk tunggu kakak pengasuh bakar biskut raya. 

Kalau dengan abang-abang akulah yang paling nakal. Teringat aku pernah curi surat cinta dalam beg sekolah A.Di, baca sebaris dua aku lari bawa balik rumah. Baru saja buka helaian surat terdengar basikal Adi, "Hoi! Hoi!..." Terkocoh-kocoh Adi meluru, merampas kembali surat cintanya. "Eiii budak ni..Eiii!!"  Nak marah lebih-lebih tak boleh maklumlah aku budak asuhannya yang manja. Ya Allah, nakal sungguh aku masa kecilnya. Maaf zahir batin Adi.

 Teringat pula perihal bergaduh sebab kacau makan megi. Sudahlah kawan tu simpan megi sebungkus dengan penuh kasih sayang. Aku tau punyalah dia sorok tak mau berkongsi, akhirnya aku juga yang bertenggek tepi mangkuk mamee ayamnya. "Geram laaa hoooo." Geram pun dapat juga sesuap dua megi Adi.

Adi balik sekolah, balik main, Adi tidur tengahari ...aku juga yang tukang kacau. Tarik rambut, pijak belakang. Sampai Adi buat-buat menangis. Nakal sungguh.


Itu baru Adi. Belum cerita lagi aku dengan A.Mi. dan abang kembar yang selalu aku ingati. Banyak juga kenangan di rumah mereka. Sebab aku tak ada abang, mereka semua abang-abangku. Aku tak kisah kena buli, kena bebel, kena 'prank'... sebab masa mak kerja mereka akan jaga aku. Bila aku di luar rumah mereka adalah mata-mata yang mengawasi keselamatan aku. TAk kurang dapat ais-krim free. Dapat baca komik dan novel koleksi abeyea dan abewea. 


Bila semua kerja dan berumah tangga, aku mula hadkan batas. Tidak lagi bergurau dan berbual, jumpa juga hanya masa raya. Itulah bezanya pengasuh abang-abang berbanding pengasuh perempuan. Zaman kecil dan sekarang tidak lagi sama. Tapi kasih aku pada mereka tetap tidak kurang malah semakin aku mendoakan mereka dalam diam. Agar mereka sentiasa sihat dan dalam kasih sayang Tuhan, sebagaimana mereka memberi aku kasih sayang sehingga sekarang.


Masa A.Mi meninggal Adi tanya aku. "Kak, ingat tak lagi A.Mi ngasuh kak zaman kecil."

"Ingat." Aku hanya jawab sepatah. Ami meninggal beberapa tahun lepas.  Ami pendiam orangnya, rajin tolong orang tua dan yang aku tak lupa Ami dan lembunya. 

Masa aku sekolah menengah, Adi datang jumpa aku dan bagi 'warning' "Kalau Adi nampak kamu jalan dengan orang laki, dua-dua Adi sepak masuk parit besar Pasar Kota Bharu tu." Sampai ke sudah aku tak berani couple. 

"Kalau dia boleh, kalau orang tak boleh."

"Ah...Tak kira!"


Semalam, lama aku tak jumpa A.wea... sekali dia membebel sebab aku campur-campur air sirap dan oren untuk anak. Langsung aku teringat zaman kecil kami. Begitulah dia membebel padaku masa aku kecil dahulu. "Ha,, campur lagi, campur semua ..air jagung tu campur. Biar cerah perut anak." A.wea mengomel. Cerah perut dalam daerah kami maksudnya cirit-birit. 

"Cerah perut la molek, putih sikit." Aku ketawa.  

Abe Wea sudah uzur, tubuhnya kurus saja, ada terkena strok ringan. Ayea juga tidak sihat mana. Jantung Adie sudah pun dioperasi. Amie, sudah meninggalkan kami semua. Awea dan Ayea sama baya dengan arwah kakNorli, Adie Amie sama baya dengan Kakros. Mereka tak adalah tua mana, kalau pangkat abang sepertinya mereka abang sulung dan abang tengah.

Nak bermanja seperti masa kita kecil tidak lagi mungkin, hanyalah tinggal aku yang mendoakan agar Tuhan menyayangi mereka sebagaimana mereka pernah menyayangi aku suatu masa dahulu. Biarlah Tuhan menjaga mereka seperti mereka menjaga aku ketika kecil dahulu. Aku adalah saksi perbuatan baik mereka... in shaa Allah.


Sepanjang aku memandu pulang, air mataku tumpah laju. Sudah uzur mereka semua, pilunya hati ini. Tuhan, jagalah mereka, para pengasuhku.


No comments:

Post a Comment