Friday, May 26, 2023

Redup kasihNya


Sebagaimana redup hari terakhirmu di sini
Sebagaimana redup kasihmu kepadaku
Sebagaimana redup hatimu yang rendah itu
Sebagaimana redup dunia menghantarmu
Dengan hawa sejuk dan damai
Barangkali Firdausi menggamit
Senang
Menunjuk-nunjuk akan kasih Tuhan.
Mandi bersih bersih
Pakai cantik cantik
Dengan kain kapas putih
Wangian barus bidara
Sungguh lawa berseri
Wajah kekuningan lagi
Sungguh untung sekali
Selamat berpergian , kekandaku sayang
In Shaa Allah Husnul Khatimah.


Dedikasi buat kekanda
Norizan Che Harun
Jumaat
1 pagi
26 May 2023

Nukilan
Zaharaini MG






Wednesday, February 1, 2023

Menifestasi kasih Ibrahim

 Pagi ini saya menyaksikan menifestasi kasih 'Ibrahim a.s'.

Selalunya Aidil Adha itu, disambut kadang hanya sekadar upacara. Segelintir menyaksi dengan roh dan rasa.
Sang gembala lah selalunya menyorot perasaan Ibrahim A.S, kerana kasih kepada yang bakal dikorbankan.
Pagi ini bila mendengar
Hamba Tuhan mencari seekor kambing jantan
Hanya untuk nilai nyawa seorang anak
"Anak sihat nanti, berniat cari kambing jantan, untuk jamuan makan-makan."
Dialog itu menerbak ke hati saya, spontan berkata... sungguh yang berlaku dari sekecil zarah mahupun sebesar gunung bersamanya rahmat dah kasih Allah. Bukanlah zalim seperti apa yang terlihat dari zahir.
Anak, jika nyawa boleh ditukar ganti.

Sunday, January 29, 2023

Along abadi di hati


Bagai semalam terasa hangat tangan  tokmi 
Menyuap nasi ke mulut kami
Berkongsi makan pakai segala
Zaman  bersama Along
Pantas menerjah memori
sesaat along pergi

Hening subuh ini
Mengimbas Along 
Yang berhati suci

Entah seakrab mana
Walau masing-masing
sudah punya hidup sendiri
Bersama teman takdir di sisi
Tetap aku menunggu Along 
Di birai rumah tokmi

Suka aku mendengar 
Cerita tentang kerjanya
Cerita tentang surinya
Cerita tentang anaknya

Dan halaman tokmi
Anak-anak kecil kami 
Berlari-lari ria


Bersama Along 
Tuhan menitip pesan
Dan memberi ajaran
Bahawa 
Tidak mustahil bagiNya
Dari manusia yang tidak dipandang 
Kepada insan bermasa hadapan

Walau nista orang lemparkan
Aku tahu Along
bukanlah calang-calang 



Along bintang tersembunyi


Along
Ahmad Syakir Zainal Abidin
Kasih sayang terabadi




Saturday, January 28, 2023

AKTIVITI : Masuk Nilai



    Asma tidur awal, Najah tidur awal. 10 aktiviti sehari dua beradik itu sudah selesai.

    Manakala Abe dan Imam masih terkial-kial, pukul enam masih ada tujuh tugasan belum selesai. Maka kelam kabutlah dua anak lelaki saya mencari 'kerja'. 

    Hari ke dua, Abe senaraikan tugas pada minit akhir di nota vivo. Dia membilang-bilang apa yang perlu dilakukan. "Sapu sampah siap dah, mengaji siap dah, kemas lipat kain abe pun siap, apa lagi .. apa lagi ya Mami, baca buku siap dah, kerja matematik pun siap..." 

    Di luar hujan masih menitik, jadi skop kerja agak sempit. Langit sudah berbalam kelam, menjemput Maghrib yang bakal bertandang.

    "Kalau macam tu baca la buku BI, cari lah apa-apa kerja dalam rumah ni...jogging ke, apa-apa saja." 

    Kemudian, saya lihat Abe memegang 'Salvation of a Saint', sebuah novel penyiasatan Inggeris yang terselit antara buku-buku bacaan di rak. tidak lama selepas itu dua beradik mula jogging dalam rumah sekitar sepuluh minit. Selepas Isyak pula kedengaran lantunan al-Mulk, mengambil saranan Maminya untuk memulakan hafazan surah sebanyak 1-2 ayat sehari.

    "Ime tiru aktiviti abe ke!?" 

    "Ye lah, Ime tengok senarai di telefon abe." Praktikal.

    "Hemmpph."


    Sebenarnya, ilham ini min fadli Rabbi. 

    Suatu masa dalam siri 10 aktiviti sehari ini, biiznillah akan saya kupas kepada anak-anak akan nilai kerja yang murni, reward atau upah komitmen ini palsu sahaja. Kerja yang tidak bernilai ubudiyyah akan sia-sia. Tidak sampai ke mana. Suatu masa yang sesuai bersama anak-anak perlahan-lahan in shaa Allah.