Wednesday, April 29, 2026

Hari rajin

 Hari ini hari rajin. Semalam hari lumpuh.

Begitulah kitar hidup aku yang tak berkerja dengan orang. Boleh pilih mana hari rajin dan mana hari malas. Sebenarnya ada hari aku kena kerja, otak aku susun banyak benda dan it-is-a-must-to-do-list, tapi saraf motor jem,  tak bersambung dengan anggota badan. Lumpuh aku hari tu.  Tapi bila mai hari rajin, otak tak sempat nak bagi order tangan kaki dah mencapah ke sana ke mari.

Anak-anak dah sekolah semua, abe hari ni kena bertugas kat sekolah jadi penyambut tetamu untuk hari syarahan kalau tak silap. Bangun pagi abe jadi mudah sebab ada benda baru yang dia kena buat kat sekolah, excited. Imam macam biasa, pukul 7 semua yang dia kena bawa ke sekolah dah tersusun rapi kat muka pintu. Najah pula, semalam seharian tak mandi sejak pagi, hari ni tak mandi lagi. Malas aku nak jadi mak singa. Balik karang tau la dia. 

Asma? Asma tak sekolah hari ni. "Ma xsey di sekolah mami esok. Tak belajar."😐

Cerita anak-anak ni tak ada kesudahan, tambah lagi tiga orang dah masuk alam remaja. Lagi banyak cerita yang diorang kongsi. Macam-macam hal dan kadang-kadang akan menerbitkan semula kisah lama kita waktu lalu. 


Hari ni aku nak buat apa ya? 

pagi dah siap dengan pokok bunga, porch aku dah siap basuh, kain baju on the way nak bilas, ruang tamu aku sedang siapkan sambil2 menaip ni hihihi. Aku nak salin tikar getah jap lagi. beli tak sampai 3 bulan dah nak bertukar..itulah kau bela mambang kaki empat berbulu corak-corak. Reti nak menggaru kerjanya. Lepas tu baru la aku masuk dapur ... bab dapur ni, lemah betul semangat aku.

Nanti aku tulis lagi. Tadaaa. 💝💕






Monday, April 27, 2026

Tebuk lubang butang oiii

 Dua tiga hari lepas aku belek kisah-kisah basi aku. Seronok betul baca kisah lama, hehe. Menghimbau banyak kenangan.  Sepatutnya aku teruskan menulis seperti itu, menulis untuk aku. Bukan untuk orang lain. 

Well, it supposed to be that way.

Apa cerita hari ini?

 Kisahnya malam tadi aku kena jaga booth dekat KBmall.

Kak Su, (yang aku save no whatsappnya sebagai kelas batik) dah tanya aku sebelum tu ok tak aku kena jaga booth kraf. Aku ok saja kalau hari bekerja. Jadi, aku kena bertugas sebelah petang, at about 6pm-10pm. Dah tu, sampai rumah lebih kurang 11pm+. tungtangtungtang around 2 gak la hari aku berakhir. 2AM ni waktu normal aku tutup 'buku'.😀

So,pagi2 aku chill.  Ye lah, dah banyak guna tenaga duk time travel dari semalam ke hari berikutnya. Tambah-tambah kalau time aku jadi kelawar yang langsung mata tak boleh nak shut down. Jadi back to cerita hari ni, niatnya nak mereput sajalah kat rumah...tuptup kaksu call tanya ada nak pi mana2 tak pagi ni. Aku macam blurr, memang aku tak pi mana tapi aku dah set nak berkhalwat dalam gua je.  "Tak pi mana2 kaksu, ada pa?"

"Kalau tak da pa mai kot ni metar." metar=sekejap.
"Orait..tapi nak kena setel benda jap." 
"Orait..setel2 kerja za dulu k."
Setel benda pebenda, aku nak beli nasi je pun dan ada la satu hal nak qr payment duit komuniti tak lepas. aku bab2 benda leceh ni boleh naik darah... Then selesai kerja2 peribadi aku (termasuk menjadi tenggiling) aku bersiap nak pi kilang (which is aku lebih suka panggil kilang batik cikgu Mat as studio).

Otak aku waktu tu punyalah flat sampai aku tak fikir banyak apa yang kalut sangat kaksu call aku pepagi buta walaupun itu bukan tabiat dia. Aku jalannn je macam zombi. Soon after that another call came in dari Kaksu . "Beli pisau Zaaaaa! pisau kecik, pisau lipat. Lubang butang kemeja tak siap lagi ni oiiii."

walaweiiiii! Rupa-rupanya kemeja yang nak dipamerkan untuk ekspo Felcra KL tak siap lubang butang. Kakaka. Tengahari dah nak gerak sana. Baideway. Good Luck Kaksu! All the Best In shaa Allah.


foto: Kemeja batik clay air tangan kitorang, design ni latest 2026. 











Thursday, April 23, 2026

Sekadar Menjenguk

 2026 

Blog ni sentiasa aku ingat, sentiasa aku bayangkan apa yang hendak ditulis, 

Tapi

Sekadar membayangkan tidak memaknai apa-apa. Tidak berbekas di layar skrin, seolah-olah tuannya sudah lama tiada di alam maya ini.

Ada, aku ada saja. Cuma bersembunyi di dalam realiti. Sedar tak sedar aku sekarang sedang mengintai senja dari jendela di daerah Bumi

Aku mula menulis di sini lebih kurang dua dekad yang lalu. Bila mengintai jejak waktuku, rentak alun frasa dan klausa berubah tiap kali melangkau batas waktu.

Hari ini aku datang lagi diari mayaku

Terlalu banyak hendak aku tulis untuk dunia, sekadar tatapan pedoman dari kisah hidup insan kerdil ini kepada yang singgah.

Entah dari mana hendak aku mulakan, kerana dalam tempoh ketidakwujudan aku di sini, siri-siri cerita yang terkumpul di ruang hati telah aku bungkus dan aku simpan kemas-kemas. 

Saturday, August 3, 2024

Menyerah sajalah

Menyerah sajalah. Serahkan semua kepada Dia. Hari sudah masuk senja, hati kita ini kita serahkan saja kepada Dia. Sedih, gembira, suka, duka. Kembalikan saja kepadaNya. Harapan pada dunia, kita tak dapat apa. Andai dapat kita miliki pun, nilainya mahu disandar kepada apa, kepada siapa? Harapan, yang tersandar atas nama cinta makhluk ini sangatlah punya potensi untuk goyah. 


Serahkan semua padaNya. 

Hidup ini, kegembiraanmu hanyalah ketika bersama Tuhan. Percayalah.

Monday, July 1, 2024

Dunia ini sepi

 Dunia blog ini sepi kecuali ada yang sudi singgah dan baca

Blog bukanlah sebuah diari, bukan juga satu lembaran isi hati. Kelasnya mungkin sebuah antalogi cerita-cerita basi, yang telah berlalu. Cerita-cerita tentang memori, tentang pemerhatian peribadi sang penulis, cerita yang lebih umum. 

Penulisan ini, matang berkadaran dengan usia. Alhhamdulillah, matang sudah walau ada sisi bodohnya. 

Dalam dunia blog yang kian sepi ini, siapalah yang sudi membuka baca setiap kali saya terbitkan di dada skrin ini? Siapalah agaknya walau tak ramai. Atau tidak ada sesiapa pun kecuali sistem yang menyemak balas.

Saturday, April 13, 2024

Akulah yang manja

 Semalam aku bertemu mereka, para pengasuhku masa kecil dahulu.

Sudah berdekad tidak berjumpa mata sesama, jadi sepanjang dekad itu bayangan mereka hanyalah ketika remaja dan muda. Sekali, aku terkedu memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Air mata ingin tumpah namun terpaksa aku tahan. Begitu rupanya masa memamah tubuh kami semua, Sudah uzur abang-abang pengasuhku yang baik. 

Semasa kecil, aku punyai ramai pengasuh. Selain dari ibu-ibu saudara aku dimanjai kakak-kakak dan abang-abang jiran sekampung. Aku menjadi manja kerana dimanjai mereka. 

Kalau dengan kakak-kakak pengasuh, aku diheret ke mana saja hingga ke taman tema dan tempat kerja. Sering juga tidur di rumah jiran-jiran, jika mereka ke dapur, aku ke dapur, mereka ke tanah aku ke tanah. Musim raya aku jadi tukang sibuk tunggu kakak pengasuh bakar biskut raya. 

Kalau dengan abang-abang akulah yang paling nakal. Teringat aku pernah curi surat cinta dalam beg sekolah A.Di, baca sebaris dua aku lari bawa balik rumah. Baru saja buka helaian surat terdengar basikal Adi, "Hoi! Hoi!..." Terkocoh-kocoh Adi meluru, merampas kembali surat cintanya. "Eiii budak ni..Eiii!!"  Nak marah lebih-lebih tak boleh maklumlah aku budak asuhannya yang manja. Ya Allah, nakal sungguh aku masa kecilnya. Maaf zahir batin Adi.

 Teringat pula perihal bergaduh sebab kacau makan megi. Sudahlah kawan tu simpan megi sebungkus dengan penuh kasih sayang. Aku tau punyalah dia sorok tak mau berkongsi, akhirnya aku juga yang bertenggek tepi mangkuk mamee ayamnya. "Geram laaa hoooo." Geram pun dapat juga sesuap dua megi Adi.

Adi balik sekolah, balik main, Adi tidur tengahari ...aku juga yang tukang kacau. Tarik rambut, pijak belakang. Sampai Adi buat-buat menangis. Nakal sungguh.


Itu baru Adi. Belum cerita lagi aku dengan A.Mi. dan abang kembar yang selalu aku ingati. Banyak juga kenangan di rumah mereka. Sebab aku tak ada abang, mereka semua abang-abangku. Aku tak kisah kena buli, kena bebel, kena 'prank'... sebab masa mak kerja mereka akan jaga aku. Bila aku di luar rumah mereka adalah mata-mata yang mengawasi keselamatan aku. TAk kurang dapat ais-krim free. Dapat baca komik dan novel koleksi abeyea dan abewea. 


Bila semua kerja dan berumah tangga, aku mula hadkan batas. Tidak lagi bergurau dan berbual, jumpa juga hanya masa raya. Itulah bezanya pengasuh abang-abang berbanding pengasuh perempuan. Zaman kecil dan sekarang tidak lagi sama. Tapi kasih aku pada mereka tetap tidak kurang malah semakin aku mendoakan mereka dalam diam. Agar mereka sentiasa sihat dan dalam kasih sayang Tuhan, sebagaimana mereka memberi aku kasih sayang sehingga sekarang.


Masa A.Mi meninggal Adi tanya aku. "Kak, ingat tak lagi A.Mi ngasuh kak zaman kecil."

"Ingat." Aku hanya jawab sepatah. Ami meninggal beberapa tahun lepas.  Ami pendiam orangnya, rajin tolong orang tua dan yang aku tak lupa Ami dan lembunya. 

Masa aku sekolah menengah, Adi datang jumpa aku dan bagi 'warning' "Kalau Adi nampak kamu jalan dengan orang laki, dua-dua Adi sepak masuk parit besar Pasar Kota Bharu tu." Sampai ke sudah aku tak berani couple. 

"Kalau dia boleh, kalau orang tak boleh."

"Ah...Tak kira!"


Semalam, lama aku tak jumpa A.wea... sekali dia membebel sebab aku campur-campur air sirap dan oren untuk anak. Langsung aku teringat zaman kecil kami. Begitulah dia membebel padaku masa aku kecil dahulu. "Ha,, campur lagi, campur semua ..air jagung tu campur. Biar cerah perut anak." A.wea mengomel. Cerah perut dalam daerah kami maksudnya cirit-birit. 

"Cerah perut la molek, putih sikit." Aku ketawa.  

Abe Wea sudah uzur, tubuhnya kurus saja, ada terkena strok ringan. Ayea juga tidak sihat mana. Jantung Adie sudah pun dioperasi. Amie, sudah meninggalkan kami semua. Awea dan Ayea sama baya dengan arwah kakNorli, Adie Amie sama baya dengan Kakros. Mereka tak adalah tua mana, kalau pangkat abang sepertinya mereka abang sulung dan abang tengah.

Nak bermanja seperti masa kita kecil tidak lagi mungkin, hanyalah tinggal aku yang mendoakan agar Tuhan menyayangi mereka sebagaimana mereka pernah menyayangi aku suatu masa dahulu. Biarlah Tuhan menjaga mereka seperti mereka menjaga aku ketika kecil dahulu. Aku adalah saksi perbuatan baik mereka... in shaa Allah.


Sepanjang aku memandu pulang, air mataku tumpah laju. Sudah uzur mereka semua, pilunya hati ini. Tuhan, jagalah mereka, para pengasuhku.


Wednesday, January 3, 2024

CINTA PEMUDA CINA


Hampir sedekad lalu, seorang pemuda cina, yang dia panggil saya dengan gelaran kak, pernah tenggelam dan karam dalam laut cinta seorang janda Melayu. Punya anak dua. Saat karam hatinya, terlantar dia di hospital, sasau tidak menentu sepanjang tempoh itu. "Apa lagi salah kita kak, saya bagi duit tiap-tiap bulan, anak-anak dia pun saya bagi. Kalau dikira sepanjang saya dengan dia sudah puluh ribu saya belanja."
"Dah kamu tak cerdik. Nak melabur pun biarlah tunggu halal. Kamu tu kenalah Islam dulu. Yakinnya kamu dia tu hak kamu. Baru dua tahun. "
Pemuda cina itu, penasaran tidak menentu, makan sudah tidak mahu, tidur juga tidak berjam waktu. Terpaksalah saya menahan amukan perasaannya. Cuba usahakan penyelesaian. "Tak apalah, biar kak bercakap dengan dia. Mana contactnya."
Tiba-tiba saya pula menjadi 'The Go Between.'
"Kak, saya bukannya ada perasaan macam tu sekali. Kerja sama-sama, saya cuma saja-saja hantar nota adalah sedikit simbol love dan ayat yang saya rasa macam biasa. Dia saja lebih-lebih. Saya anggap dia kawan baik." Dan bla-bla-bla-bla. Jawapan dari sebelah perempuan, saya sendiri hampir bingung. Kamu bermain dengan perasaan pemuda yang masih tak punya pengalaman macam kamu. Tentulah dia menyambutnya dengan naif. Sudah itu, kenapa setelah bertahun baru hendak bersuara mewakili diri. Sudah dalam perasaannya.
Begitulah, jika Tuhan berkata jangan maka jangan. Natijahnya, sebuah kehancuran. Hancur hati, hancur kepercayaan, hancur harga diri.
"Sudahlah. Kak pun tak tahu nak cerita macamana lagi. Biarlah dia dengan dunia dia. Budak baik, mestilah ramai yang tunggu kamu, kan? Macam kamu ni, kalau akak ada adik yang single, tentu dah temukan kamu. Jangan kau nak terjun laut pula! Kau ni bukan boleh diharap kalau dah meroyan begini." apa lagi yang boleh saya kata, hanya itu sahaja, selebihnya hanya mampu menjadi pendengar setia, sekurang-kurang ringan beban jiwanya.
Katanya sudah move on, sampai sekarang masih sendiri.
Jika R^s!s itu umum, lalu bagaimana dengan cinta pemuda cina ini. Cinta tidak kenal adakah kamu Melayu atau Cina, adakah kamu India atau Kadazan. Bagaimanakah Bilal Bin Rabah jika pada zaman Nabi SAW. Bagaimanakah Adam Corie, pada zaman kita ini?
R^s!s itu milik individu yang dalam hatinya berbuku prejudis dan pesimis. Ia milik individu. Terpulang kepada kamu, atau saya untuk memandang siapa mereka di sisi kita.
Tuhan tidak menghukum dengan apa yang diniat, Tuhan menghukum apa yang diperbuat. Wallahua'lam.
Dia adikku yang baik, seorang pemuda cina.

Foto Sumber Google>Ctto





Comment
Share