Monday, April 27, 2026
Tebuk lubang butang oiii
Thursday, April 23, 2026
Sekadar Menjenguk
2026
Blog ni sentiasa aku ingat, sentiasa aku bayangkan apa yang hendak ditulis,
Tapi
Sekadar membayangkan tidak memaknai apa-apa. Tidak berbekas di layar skrin, seolah-olah tuannya sudah lama tiada di alam maya ini.
Ada, aku ada saja. Cuma bersembunyi di dalam realiti. Sedar tak sedar aku sekarang sedang mengintai senja dari jendela di daerah Bumi
Aku mula menulis di sini lebih kurang dua dekad yang lalu. Bila mengintai jejak waktuku, rentak alun frasa dan klausa berubah tiap kali melangkau batas waktu.
Hari ini aku datang lagi diari mayaku
Terlalu banyak hendak aku tulis untuk dunia, sekadar tatapan pedoman dari kisah hidup insan kerdil ini kepada yang singgah.
Entah dari mana hendak aku mulakan, kerana dalam tempoh ketidakwujudan aku di sini, siri-siri cerita yang terkumpul di ruang hati telah aku bungkus dan aku simpan kemas-kemas.
Saturday, August 3, 2024
Menyerah sajalah
Menyerah sajalah. Serahkan semua kepada Dia. Hari sudah masuk senja, hati kita ini kita serahkan saja kepada Dia. Sedih, gembira, suka, duka. Kembalikan saja kepadaNya. Harapan pada dunia, kita tak dapat apa. Andai dapat kita miliki pun, nilainya mahu disandar kepada apa, kepada siapa? Harapan, yang tersandar atas nama cinta makhluk ini sangatlah punya potensi untuk goyah.
Serahkan semua padaNya.
Hidup ini, kegembiraanmu hanyalah ketika bersama Tuhan. Percayalah.
Monday, July 1, 2024
Dunia ini sepi
Dunia blog ini sepi kecuali ada yang sudi singgah dan baca
Blog bukanlah sebuah diari, bukan juga satu lembaran isi hati. Kelasnya mungkin sebuah antalogi cerita-cerita basi, yang telah berlalu. Cerita-cerita tentang memori, tentang pemerhatian peribadi sang penulis, cerita yang lebih umum.
Penulisan ini, matang berkadaran dengan usia. Alhhamdulillah, matang sudah walau ada sisi bodohnya.
Dalam dunia blog yang kian sepi ini, siapalah yang sudi membuka baca setiap kali saya terbitkan di dada skrin ini? Siapalah agaknya walau tak ramai. Atau tidak ada sesiapa pun kecuali sistem yang menyemak balas.
Saturday, April 13, 2024
Akulah yang manja
Semalam aku bertemu mereka, para pengasuhku masa kecil dahulu.
Sudah berdekad tidak berjumpa mata sesama, jadi sepanjang dekad itu bayangan mereka hanyalah ketika remaja dan muda. Sekali, aku terkedu memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Air mata ingin tumpah namun terpaksa aku tahan. Begitu rupanya masa memamah tubuh kami semua, Sudah uzur abang-abang pengasuhku yang baik.
Semasa kecil, aku punyai ramai pengasuh. Selain dari ibu-ibu saudara aku dimanjai kakak-kakak dan abang-abang jiran sekampung. Aku menjadi manja kerana dimanjai mereka.
Kalau dengan kakak-kakak pengasuh, aku diheret ke mana saja hingga ke taman tema dan tempat kerja. Sering juga tidur di rumah jiran-jiran, jika mereka ke dapur, aku ke dapur, mereka ke tanah aku ke tanah. Musim raya aku jadi tukang sibuk tunggu kakak pengasuh bakar biskut raya.
Kalau dengan abang-abang akulah yang paling nakal. Teringat aku pernah curi surat cinta dalam beg sekolah A.Di, baca sebaris dua aku lari bawa balik rumah. Baru saja buka helaian surat terdengar basikal Adi, "Hoi! Hoi!..." Terkocoh-kocoh Adi meluru, merampas kembali surat cintanya. "Eiii budak ni..Eiii!!" Nak marah lebih-lebih tak boleh maklumlah aku budak asuhannya yang manja. Ya Allah, nakal sungguh aku masa kecilnya. Maaf zahir batin Adi.
Teringat pula perihal bergaduh sebab kacau makan megi. Sudahlah kawan tu simpan megi sebungkus dengan penuh kasih sayang. Aku tau punyalah dia sorok tak mau berkongsi, akhirnya aku juga yang bertenggek tepi mangkuk mamee ayamnya. "Geram laaa hoooo." Geram pun dapat juga sesuap dua megi Adi.
Adi balik sekolah, balik main, Adi tidur tengahari ...aku juga yang tukang kacau. Tarik rambut, pijak belakang. Sampai Adi buat-buat menangis. Nakal sungguh.
Itu baru Adi. Belum cerita lagi aku dengan A.Mi. dan abang kembar yang selalu aku ingati. Banyak juga kenangan di rumah mereka. Sebab aku tak ada abang, mereka semua abang-abangku. Aku tak kisah kena buli, kena bebel, kena 'prank'... sebab masa mak kerja mereka akan jaga aku. Bila aku di luar rumah mereka adalah mata-mata yang mengawasi keselamatan aku. TAk kurang dapat ais-krim free. Dapat baca komik dan novel koleksi abeyea dan abewea.
Bila semua kerja dan berumah tangga, aku mula hadkan batas. Tidak lagi bergurau dan berbual, jumpa juga hanya masa raya. Itulah bezanya pengasuh abang-abang berbanding pengasuh perempuan. Zaman kecil dan sekarang tidak lagi sama. Tapi kasih aku pada mereka tetap tidak kurang malah semakin aku mendoakan mereka dalam diam. Agar mereka sentiasa sihat dan dalam kasih sayang Tuhan, sebagaimana mereka memberi aku kasih sayang sehingga sekarang.
Masa A.Mi meninggal Adi tanya aku. "Kak, ingat tak lagi A.Mi ngasuh kak zaman kecil."
"Ingat." Aku hanya jawab sepatah. Ami meninggal beberapa tahun lepas. Ami pendiam orangnya, rajin tolong orang tua dan yang aku tak lupa Ami dan lembunya.
Masa aku sekolah menengah, Adi datang jumpa aku dan bagi 'warning' "Kalau Adi nampak kamu jalan dengan orang laki, dua-dua Adi sepak masuk parit besar Pasar Kota Bharu tu." Sampai ke sudah aku tak berani couple.
"Kalau dia boleh, kalau orang tak boleh."
"Ah...Tak kira!"
Semalam, lama aku tak jumpa A.wea... sekali dia membebel sebab aku campur-campur air sirap dan oren untuk anak. Langsung aku teringat zaman kecil kami. Begitulah dia membebel padaku masa aku kecil dahulu. "Ha,, campur lagi, campur semua ..air jagung tu campur. Biar cerah perut anak." A.wea mengomel. Cerah perut dalam daerah kami maksudnya cirit-birit.
"Cerah perut la molek, putih sikit." Aku ketawa.
Abe Wea sudah uzur, tubuhnya kurus saja, ada terkena strok ringan. Ayea juga tidak sihat mana. Jantung Adie sudah pun dioperasi. Amie, sudah meninggalkan kami semua. Awea dan Ayea sama baya dengan arwah kakNorli, Adie Amie sama baya dengan Kakros. Mereka tak adalah tua mana, kalau pangkat abang sepertinya mereka abang sulung dan abang tengah.
Nak bermanja seperti masa kita kecil tidak lagi mungkin, hanyalah tinggal aku yang mendoakan agar Tuhan menyayangi mereka sebagaimana mereka pernah menyayangi aku suatu masa dahulu. Biarlah Tuhan menjaga mereka seperti mereka menjaga aku ketika kecil dahulu. Aku adalah saksi perbuatan baik mereka... in shaa Allah.
Sepanjang aku memandu pulang, air mataku tumpah laju. Sudah uzur mereka semua, pilunya hati ini. Tuhan, jagalah mereka, para pengasuhku.


